Isnin, Februari 07, 2011

Orang mukmin diseru manfaat dunia dengan bijaksana

Daripada Abu Hurairah, katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Dunia penjara bagi orang mukmin dan syurga bagi orang kafir".

Dunia ini harus kita nikmati dangan mengikuti segala perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.Dikatakan dunia adalah penjara bagi mukmin kerana di dunia manusia terdedah dengan pelbagai macam godaan dan ancaman yang mencabar keimanan.

Bahkan apa yang dilarang oleh agama itu selalunya menjadi kesukaan nafsu manusia. Namun, hakikatnya larangan itu demi kebaikan dan kesejahteraan manusia supaya tidak terjebak ke lembah kebinasaan.

Berbeza bagi golongan kafir, mereka bebas melakukan apa saja sehingga akhirnya mereka merosakkan jiwa dan diri sendiri. Inilah hakikat dunia yang akan menjadikan manusia yang alpa tengelam di dalamnya.

Sebab itu selaku orang mukmin diseru memanfaatkan dunia dengan bijaksana iaitu apabila kita berusaha memanfaatkan kehidupan dunia sebagai jambatan menuju ke bahagiaan akhirat, maka Allah akan memberikan kedua-duanya (kebahagian dunia dan akhirat).

Namun, jika kita hanya mengutamakan kehidupan dunia dan melupakan akhirat, maka Allah akan memberikan satu kenikmatan saja iaitu dunia semata sedangkan diakhirat kelak kita mendapat kerugian yang banyak.

sumber e-Hadith JAKIM

Selasa, Februari 01, 2011

BISMILLAH

MULAKANLAH hari anda dengan ucapan Bismillah. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Bacalah bismillah. Ketika anda buat apa pun sahaja, cuba untuk biasakan dengan memulakan bersama bismillah.

Tak susah. Cuma kita saja yang kadang-kadang rasa malas nak amalkan. Terlalu banyak kelebihan dan hikmahnya bersama bacaan bismillah ini dalam setiap amalan kita.

Amalkanlah bacaan bismillah ini sebelum tidur. Bacaan bismillah sebanyak 21 kali sebelum tidur mampu menghindarkan kita daripada gangguan syaitan, bencana dan juga mati mengejut.

Tak rugi kalau kita memperbanyakkan bacaan bismillah ini. Nak makan, kalau tak sempat baca doa makan, baca bismillah pun tak apa. Nak pakai baju, nak masuk ke rumah, masuk ke kelas, masuk ke kereta dan apa saja cuba jadikan bacaan bismillah suatu amalan kita.

Kalau masuk ke rumah sentiasa bersama bismillah, insyaAllah berkat dan aman rumah tangga. Harmoni anak-anak bersama keluarga.

Nabi Muhammad s.a.w sendiri ada bersabda, Tiada ada seorang hamba yang mengucapkan Bismillah kecuali Allah memerintahkan malaikat yang bertugas untuk mencatat dalam buku amalannya sebanyak 400 kebaikan.