Khamis, April 29, 2010

PERJALANAN DUNIA DESTINASI AKHIRAT



www.iluvislam.com
Tuan Mohd Rezza
Editor : lailatulema


Kehidupan dunia adalah sementara yang merupakan persinggahan yang pasti dilalui. Dunia ibarat lapangan peperiksaan kita selepas menempuh satu pengajian yang lama ketika berada di alam roh dan rahim. Peperiksaan ini harus ditempuhi sama ada kita bersedia atau sebaliknya. Bagi mereka yang peka dan tahu apa yang harus dilakukan, semestinya telah membuat persediaan rapi dari awalnya lagi, agar setiap jawapan yang dicoret akan menghasilkan nilai yang tinggi, dan seterusnya mendapat tempat di menara gading iaitu Syurga.

Aturlah kehidupan dari sekarang, jangan terlopong kekosongan antara liang-liang usia meninggalkan bekas kekotoran akibat perbuatan tangan sendiri. Degil kekotoran sukar dibasuh, apatah lagi menanggalkan jejaknya. Kadang-kadang terasa lemah, dan rasa tidak bermakna untuk menyampai dan mengajak kepada kebaikan, kerana dirasakan kita tidak mampu mengubah apa-apa, sedangkan perubahan tersebut bukannya sekejap, tapi kadang-kadang memakan masa bertahun-tahun.

Manusia yang bertemu Allah swt dengan membawa hati yang sejahtera adalah manusia yang mempersembahkan pita rakaman kepada segala ketaatan dan kepatuhannya kepada Allah swt semasa menunaikan kewajipan hidup di dunia. Kejayaan di dunia hanya sebuah perjalanan, bukannya destinasi abadi kita.

BAGAIMANAKAH CARANYA?

Ilmu Tauhid adalah ilmu mengenal Allah swt. Dengan memahami ilmu sains, kefahaman kita kepada Allah swt akan menjadi lebih berkesan, sebagaimana contoh orang purba pun pandai membuat rumah, tetapi dengan sains dan teknologi, teknik membuat rumah menjadi lebih berkesan dan menghasilkan rumah yang jauh lebih baik. Kalau pemikiran kita terbuka kepada manhaj ilmu sains (akal rational), insha-Allah, kewujudan Allah swt akan menjadi lebih bermakna pada kita sebagai muslim dan mukmin.

Kesubjektifan sesuatu perkara diukur dari pengetahuan asal dan pengalaman yang telah dilalui oleh seseorang. Sebagaimana Allah swt mengajar Nabi Nuh as supaya berdoa memohon daripada meminta sesuatu yang tidak diketahui kesan dan akibatnya, begitu juga kita perlu kembalikan pengharapan bagi proses mencerahkan pemahaman agama kita kepada Allah swt. Sudah terang lagi bersuluh, jika Allah swt mahukan kebaikan ke atas seseorang itu, maka akan Allah swt berikan kefaqihan dan kesahihan dalam beragama.

Analoginya, kita melatih kanak-kanak secara perlahan (gradual proses) untuk memahami sesuatu. Berkembangnya pemikiran kanak-kanak bermakna dia mendapat penambahbaikan dari segi pemahaman pada kehidupan. Kiranya kita boleh berinteraksi dengan situasi itu, maka adalah sama situasinya dengan kemajuan untuk mengenal Allah swt, bagi orang dewasa. Ia bekembang dari satu tahap ke tahap yang lebih tinggi, dengan syarat, ada keterbukaan orang yang beranggapan itu.

Kalau dilihat sebagai 'instruction manual', penulis kira kesemua sistem ini akan menerangkan bagaimana hendak mendapatkan manfaat terbaik dari sesuatu, iaitu dengan mengenalnya dan menggunakannya. Apabila telah mengenalnya barulah timbul rasa hormat dan kemahuan menjaga mengikut panduan yang diberikan. Oleh itu tujuan hidup lebih kepada mengenal-Nya dan kemudian mengabdikan diri kepada-Nya setelah mengenal. Awal agama itu ialah mengenal Tuhan. Islam adalah agama wahyu. Bukan berlandaskan rasional akal dan kajian saintifik semata-mata, namun Islam amat menggalakkan penganutnya menggunakan seluruh anugerah akal demi membangunkan tamadun manusia.

Ilmu dan pengetahuan menjadikan Adam terpilih untuk memimpin bumi ciptaan Allah. Faqih dalam agama adalah asas dan tunjang, juga bertindak sebagai pengawal kepada gelojohnya nafsu dan pemikiran yang tersasar.

MUHASABAH

Sibukkanlah diri dengan amal yang memberi saham kepada kita, usah dikira habuannya di dunia, lebih penting menjadi baucer kita bertemu Tuhan di destinasi terakhir kelak, yaumul akhirah. Tiada pelaburan yang lebih baik berbanding pelaburan akhirat. Allah swt berfirman yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya. Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasul-Nya, serta kamu berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwa kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui” (As-Saff,61:10-11)

Amee

Isnin, April 26, 2010

KEJADIAN RIBUT PADA 26/04/2010

Syukur Alhamdulliah, ahli rumah Vila Tapah selamat semasa ribut kuat pada petang Isnin 26/04/2010 lebih kurang jam 7.15 ptg. Semuanya dugaan Allah SWT, redha dan kupanjatkan Syukur kepadaNya yang berlaku ada hikmahNya.


Berikut adalah gambar-gambar keadaan rumah selepas dilanda ribut.




















Ahad, April 25, 2010

DALAM NEGATIF, ADA POSITIF

Setiap sesuatu yang negatif mesti dilihat dari sudut yang positif. Atas sesuatu yang negatif berlaku pada kita, walaupun nampak negatif, tetapi di situ ada pengajaran, ada didikan dan ada hikmah daripada Allah. Di sebalik yang tersurat berbentuk negatif, ada tersirat yang berbentuk positif. Hal sedemikian, jika tidak dicungkil, jika tidak digali, akan tinggal sebagai negatif. Padahal jika negatif dilihat sebagai negatif sahaja, ia akan terus tinggal sebagai negatif. Bahkan ia sedikit atau banyak, boleh mempengaruhi kehidupan kita. Dengan mencari hikmah serta pengajaran disebaliknya, nescaya ia akan dilihat sebagai positif. Walau negatif, tetapi tetap positif. Itulah yang sepatutnya menjadi panduan kita dalam berdepan dengan perkara-perkara negatif.

Contohnya seperti ini: Kalau sakit, asal nampak negatif. Tapi tahukah kita bahawa dengan sakit, kita akan dapat pahala percuma dari Allah?Allah buat begitu sebab nak beri pahala kepada kita. Memanglah teruk kita menanggung kesakitan, tapi dengannya itu kita dijanjikan pahala oleh Allah tanpa perlu kita bersusah payah buat ibadah.

Selain itu, dengan sakit, ia dapat memberi kerehatan kepada badan kita untuk satu tempoh yang sementara. Seolah-olah satu paksaan dari Allah untuk membolehkan tubuh badan kita direhatkan daripada kepenatan dan keletihan bekerja. Dengan sakit juga, setidak-tidaknya boleh memberi keinsafan kepada kita. Selama ini kita sentiasa sihat, sekarang diberikan sakit supaya kita beringat agar gunakan waktu sihat di jalan Allah. Supaya kita tidak lalai dan leka daripada mengingati Allah. Mulanya negatif, tetapi bila dikaji-kaji, di cari hikmah dan pengajaran, sakit itu sebenarnya positif.

Contoh lain: Kita dihina dan dikata orang. Memanglah sakit hati kita mendengarnya. Pada lahirnya memang negatif. Tapi, jika kita positifkan, kita tidak balas hinaan tersebut sebaliknya kita katakan pada diri kita, "memang aku ini hamba Allah, layak dihina dan layak dikata". Dengan melihatnya sebagai positif, kita sudah dapat mengelakkan daripada krisis antara kita dengan orang yang mengatakan itu berlarutan. Sekurang-kurangnya dengan lapang dada kita, kita sudah dapat mencetuskan perpaduan. Bahkan dengan menilai kata-kata hinaan tersebut, mungkin ada kebenarannya dan ini dapat membaiki kelemahan kita. Juga, hasil sabar kita, Allah akan meningkat darjat kita. Inilah yang difirmankan Tuhan, dalam Al-Quran, maksudnya:"Sifat baik itu tidak akan diberikan melainkan kepada orang-orang yang sabar."

Seperkara lagi yang cukup besar, bila ada orang hina dan orang kata kepada kita, akan jatuhlah ego kita, dan mencairkan kesombongan kita. Cuba bayangkan, kalau tidak ada orang mengata dan menghina kita, kita akan rasa diri hebat dan rasa diri sempurna. Itulah ego namanya.

Dua contoh yang diberikan di atas sudah cukup mendorong kita untuk menjadi orang yang berfikiran positif.

Mulakan kehidupan kita setiap hari ini dengan keazaman untuk melihat sesuatu itu positif. Daripada situlah nanti kita akan sentiasa positif dengan apa jua keadaan yang berlaku. Hasilnya kita akan menjadi orang yang sentiasa tenang dengan kehidupan dunia.

~Seruan As-Saadah~